Pada suatu hari, ketika Nabi Muhammad berjalan di kota Madinah, beliau berselisih dengan seorang sahabat yang bernama Harithah bin Syuraqah.
“Harithah! Bagaimana keadaanmu pagi ini?” beliau bertanya.
“Ya Muhammad! Pagi hari ini aku telah mencapai hakikat keimanan,” jawab Harithah.
Mendengar jawapan tersebut, Nabi Muhammad bertanya. “Apakah buktinya dan dimanakah bukti akan hakikat keimananmu?”
“Cinta pada dunia telah hilang dari dalam diriku sehingga nilai emas dan batu sama sahaja di mataku. Seolah-olah dalam mataku dengan jelas aku dapat melihat arasy tuhan, penghuni syurga mendapatkan nikmat di syurga manakala penghuni neraka di neraka menerima azab di neraka. Ya Rasulallah! Pada waktu malam aku bermunajat dan di siang hari aku berpuasa,” kata Harithah.
“(Engkau adalah) hamba Allah yang telah memperoleh cahaya di hatimu. Harithah, engkau telah menerimanya, maka jadikanlah ia sebagai amalan,” kata Nabi Muhammad kepadanya.
“Wahai Nabi Muhammad! Kau doakanlah aku mati syahid di jalan Allah,” kata Harithah. Kemudian, Nabi Muhammad pun mendoakan agar Haritsah berpeluang untuk mati syahid.
Kebetulan di hari itu Nabi Muhammad dan para sahabat keluar dari kota Madinah untuk memerangi orang kafir Quraisy di Perang Badar. Jumlah tentara orang kafir lebih dari 950 orang sedangkan tentara Muslim hanyalah 313 orang tanpa memiliki senjata yang hebat. Walaupun begitu, Allah memberikan kemenangan kepada mereka. 70 orang kafir Quraisy terbunuh manakala 70 ditawan. Seramai 14 orang sahabat mati syahid dan Harithah adalah salah seorang aripada mereka.
Ketika Nabi Muhammad dan para sahabat kembali dari medan perang, ibu Harithah menemuinya.
“Nabi Muhammad, dimanakah anakku Harithah?” ibunya bertanya.
“Wahai ibu Harithah! Bersabarlah, sesunggahnya anakmu terbunuh dijalan Allah,” jawab Nabi Muhammad.
Ibunya mengulangi pertanyaan tersebut dan dijawab dengan jawapan yang sama. Untuk kali ketiga, ibu Haritsah bertanya, “Ya Rasulallah, aku tahu kalau anakku terbunuh di jalan Allah kerana itu yang diinginkannya. Tetapi dimana anakku berada, di syurga atau neraka?”
“Wahai ibu Haritsah, apakah engkau tidak tahu? Sesungguhnya syurga itu bukan hanya satu, tetapi banyak sekali tingkatannya. Dan sesungguhnya anakmu telah mencapai syurga Firdaus, iaitu syurga yang paling tinggi,” jawab Nabi Muhammad.
Ibu Harithah merasa gembira mendengarkannya. Ahli sejarah mengatakan bahawa ketika Harithah terbunuh di jalan Allah, dia berusia 17 tahun.
Hakcipta Terpelihara. Tidak dibenarkan sesiapa menyalin semula ayat-ayat pada karya ini dengan apa cara dan untuk apa juga tujuan, melainkan dengan izin bertulis daripada pengarang - Norziati binti Mohd Rosman
0 Response to "Harithah bin Syuraqah – pejuang muda yang syahid"
Posting Komentar